Motorola semalam mengumumkan bahawa model perdana telefon pintar keluarannya, Moto X sedang menuju ke Eropah.
Moto X akan tiba di Perancis, Britain dan Jerman bermula Februari, menurut firma milik Google itu.
“Di Motorola teras kami adalah dalam perkakasan mudah alih – kami mencipta komunikasi mudah alih,” kata Pengurus Besar Mobiliti Motorola UK, Andrew Morley dalam satu kenyataan.
“Kini, sebagai sebuah syarikat Google, kami sudah menjadi syarikat yang boleh membina sebuah telefon pintar 4G seperti Moto X,” katanya.
“Ia menggabungkan sejarah kami mengenai inovasi mudah alih dengan perkhidmatan mudah alih yang terbaik daripada Google.”
Harga di Britain
Menurut Motorola, harga telefon pintar itu di Britain bakal ditawarkan antara 25 pound (RM133.93) sebulan dengan kontrak hingga 380 pound (RM2,036.77) keseluruhan tanpa kad SIM.
Di Perancis, ia bakal ditawarkan pada harga 429 euro (RM1,912.79). Moto X dilancarkan di Amerika Syarikat (AS) tahun lalu. Versi lebih murah untuk telefon pintar Motorola, Moto G, sudah dijual di peringkat antarabangsa .
Motorola berusaha keras untuk mendapatkan semula reputasi unggul dalam pasaran telefon pintar, termasuk harga yang agresif, menurut Ketua Eksekutif, Dennis Woodside.
Woodside dalam temu bual minggu lalu di luar acara Pameran Elektronik Pengguna di Las Vegas, berkata, unit milik Google berusaha mendapatkan pasaran daripada pesaing, termasuk Apple dan Google.
Perkenal model perdana
Sejak diambil alih oleh Google, Motorola sudah memperkenalkan model perdana telefon bimbit Moto X dan MotoG di AS, telefon kurang mahal yang direka untuk disasarkan kepada pengguna yang sensitif harga di seluruh dunia.
“Akan ada telefon berbeza pada harga yang berbeza, tetapi kita akan menjadi sangat agresif dalam konteks itu,” kata Woodside.
“Apabila kami menawarkan Moto X pada harga AS$399 (RM1,302.19) di AS sebagai promosi, kami menjual puluhan ribu unit hanya dalam masa lapan minit.”
Moto X yang tidak dikunci pada asalnya diperkenalkan pada harga AS$599 (RM1,954.91) tanpa kontrak, manakala Moto G pada harga AS$179 (RM584.07) di AS.
Motorola yang pernah menjadi peneraju dalam pasaran telefon mudah alih, bergelut sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila pembuat telefon seperti Apple dan Samsung merebut kebanyakan bahagian pasaran dan keuntungan.