Xiddig Cellular tawar internet 5G kelajuan sehingga 1 Gbps


Ketua Pegawai Eksekutif ICCE Dr Awad Othman Alassaf (kiri) bertukar perjanjian dengan Pengerusi Eksekutif Xiddig Datuk Seri Abdul Rashid Abdul Rahim. - Gambar fail
Xiddig Cellular tawar internet kelajuan tinggi harga rendah

KUALA LUMPUR: Xiddig Cellular Communications Sdn Bhd, pengendali Projek Gerbang Internet Antarabangsa Malaysia Yang Dipertingkat (EM-IIG) akan menawarkan perkhidmatan internet berkelajuan tinggi paling murah dan terpantas di dunia pada November 2019.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Abdul Rashid Abdul Rahim, berkata perkhidmatan itu bakal menawarkan perkhidmatan rangkaian mudah alih generasi ke-5 (5G) pada harga RM189 dengan kelajuan sehingga 1 Gigabait sesaat (Gbps).

Beliau berkata, projek berkenaan membabitkan pemasangan kabel dasar laut dan daratan bernilai RM5.45 bilion di Malaysia menggunakan kabel gentian optik berkapasiti 150 terabait (TB), yang akan mengambil masa lima tahun.

"Fasa pertama projek ini membabitkan pemasangan kabel gentian optik daratan sepanjang 33,000 kilometer (KM) di bandar utama sebelum diperluas di kawasan luar bandar yang lain.

"Projek ini membabitkan enam stesen pendaratan bagi pemasangan kabel optik ini di Bintulu, Papar, Penggerang, Batu Kawan, Batu Maung dan Tok Bali.

"Apabila fasa pertama ini selesai, rakyat negara ini dapat menikmati harga internet berkelajuan tinggi paling pantas dan termurah di dunia mulai November tahun depan," katanya pada sidang media selepas sesi taklimat dan pendaftaran kontraktor bagi projek EM-IIG di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Bahagian Perancangan Korporat Kementerian Kerja Raya, Zureen Zubir.

Abdul Rashid berkata, usaha itu juga adalah antara inisiatifnya sebagai syarikat swasta Bumiputera bagi menawarkan perkhidmatan internet berkelajuan tinggi sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menawarkan kemudahan yang sama.

Katanya, secara keseluruhannya projek ini membabitkan pemasangan kabel gentian optik daratan sepanjang 110,000 kilometer di Semenanjung Malaysia.

Xiddig juga, katanya akan membangunkan pusat data peringkat empat di Malaysia.

"Pusat data itu akan berpangkalan di Forest City, Batu Kawan dan Bintulu yang mana pusat data di Batu Kawan akan dijadikan hab antarabangsa serta disambungkan terus ke India, Sri Lanka, Maldives dan ke Jeddah.

"Bagi fasa seterusnya, Xiddig akan menjalin usaha sama dengan rakan kongsi dari Asia Barat membabitkan pelaburan bernilai RM20 bilion," katanya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Top Post Ad


Below Post Ad