Malaysia ingin pelajari teknologi Huawei

TUN Dr Mahathir Mohamad (tengah) ketika sidang media bersama wartawan Malaysia selepas mengakhiri lawatan kerja tiga hari ke Tokyo hari ini. - Foto BERNAMA
'Kita ingin pelajari teknologi Huawei'

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, penggunaan infrastruktur 5G yang dibangunkan syarikat telekomunikasi gergasi China, Huawei, adalah seiring dengan hasrat Malaysia mempelajari kemajuan teknologi.

Sehubungan itu, Perdana Menteri memberi jaminan tiada apa perlu dibimbangi, termasuk dakwaan kononnya teknologi berkenaan digunakan untuk aktiviti pengintipan oleh China.

“Huawei adalah syarikat berteknologi tinggi dalam bidang telekomunikasi.


“Mereka membangunkan telefon bimbit canggih sehingga berupaya mencapai peringkat 5G, maka produk mereka jauh lebih baik berbanding telefon bimbit lain, terutama dari Amerika Syarikat (AS).

“Mungkin orang di Amerika Syarikat takut diintip Huawei tetapi di Malaysia, tiada apa yang nak diintip pun, lebih-lebih lagi dalam industri teknologi kita.

“Oleh itu, kita mengalu-alukan kedatangan mereka, bekerjasama dengan mereka, dan kita pelajari teknologi mereka,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di akhir lawatan kerja tiga hari ke Jepun, hari ini.

Dalam sesi dialog sempena Persidangan Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei) 2019 di sini semalam, Dr Mahathir menyatakan komitmen Malaysia untuk kekal menggunakan teknologi 5G Huawei walaupun syarikat itu berdepan tekanan global.


Memberi justifikasi secara lebih menyeluruh, Perdana Menteri berkata, Malaysia memerlukan rakan teknologi dan kerjasama bukan bermakna keseluruhan perniagaan telekomunikasi negara diserahkan kepada pihak asing.

“Kita ada peranan dalam negara sendiri, maka kita kawal keadaan. Ini peluang kita mempelajari teknologi baharu, seperti mana kita bekerjasama dengan Telenor ASA.


“Itu caranya. Kalau kita nak kerja dengan syarikat besar dalam teknologi, kita kena menerima hakikat yang mereka mempunyai suara dalam operasi.

“Jika tidak, kita tidak dapat apa-apa, terus ketinggalan,” katanya.


Ditanya sama ada penerimaan teknologi Huawei bermakna beliau mulai berlembut dengan China, Dr Mahathir menegaskan, Malaysia mengambil pendekatan bersahabat dengan semua negara.

Katanya, ia terletak kepada kebijaksanaan menguruskan negara dengan mengetahui kekuatan dan kelemahan sendiri.

“Kita tidak mahu berperang kerana kita tahu kekuatan mereka dan tahu kelemahan kita.


“Apabila kita lemah, kita mesti tahu mentadbir dan bukan bertindak seolah-olah kita negara kuat yang hanya tahu menghentam negara lain. Itu bukan cara kita,” katanya.

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Top Post Ad


Below Post Ad