Internet di Malaysia.
Salah metodologi
Seperti yang diketahui, Internet memainkan peranan penting dalam kehidupan moden dengan capaiannya mampu memberi kelajuan setara kerja, hiburan dan gaya hidup pengguna di negara ini.
Pengguna juga mungkin pernah mengalami masalah seperti penulis, gagal mengemas kini status Facebook meskipun jelas terpampang perkataan ‘H’ pada skrin telefon pintar seolah-olah tiada langsung Internet.Namun untuk mengatakan kelajuan Internet di negara ini lebih perlahan daripada siput seperti yang dikeluarkan dalam laporan Ookla selaku pengendali aplikasi ujian kelajuan isyarat yang mengatakan Internet di negara ini lebih teruk berbanding negara seperti Vietnam dan Kemboja pastinya bukan berdasarkan fakta yang jelas.
Walaupun ada kurangnya, kita lebih teruk dari dua negara terbabit.
Penembusan telefon pintar bantu lonjak penggunaan Internet.
Menurut kajian yang dikatakan Ookla, Malaysia berada di kedudukan 124 di dunia yang mempunyai kelajuan jalur lebar pada tahap 5.63Mbps.
Dalam laporan terbabit, Vietnam dan Kemboja berada jauh di atas manakala Malaysia hanya sedikit mengatasi Myanmar.
Jika mahu membandingkan angka ini dengan negara yang berada di kedudukan teratas, Hong Kong (80.46Mbps) dan Singapura (68.71Mbps), kita pasti ‘menangis’ dengan kelajuan yang dikatakan tidak seberapa itu.
Mana tidaknya, kita 12 kali lebih teruk dari negara jiran, Singapura selain ketinggalan dengan Madagascar (13Mbps).
Namun, apabila melihat semula metodologi yang dijalankan Ookla melalui kajian NetIndex terbabit, kajian terbabit jelas tidak menepati situasi sebenar.
Bagaimana Ookla memperoleh data kajian? Agensi terbabit mempunyai aplikasi Speedtest.net yang popular digunakan.
Ookla mengumpul data berdasarkan di mana anda berada, pelayan mana yang digunakan ketika ujian kelajuan oleh pengguna dijalankan dan merekodkan data purata semua ujian dalam negara tertentu.
Ia tidak mengambil kira sama ada anda menggunakan sambungan Unifi 20Mbps di rumah atau melalui telefon anda yang sudah dinaik taraf rangkaiannya kerana kuota data sudah habis.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut melahirkan keraguan terhadap data yang diterbitkan Ookla mengenai kelajuan jalur lebar negara yang diperoleh hasil metodologi berbeza.
Akhir-akhir ini, terdapat beberapa ujian kelajuan jalur lebar dijalankan dan dihebahkan di laman sosial yang menggambarkan keputusan berbeza-beza.
Menurut Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi, setiap ujian dinilai menggunakan metodologi berbeza-beza yang membawa kepada keputusan yang berlainan.
“Ternyata, anda akan mendapat keputusan yang berbeza-beza kerana terdapat beberapa laporan selain Ookla, Akamai dan ITU.
“Malah hakikatnya, jika anda melihat hasil keputusan ujian Ookla, purata kelajuan jalur lebar di Kuala Lumpur adalah 6.92Mbps manakala Pantai pula menunjukkan purata kelajuan setinggi 21.84 Mbps,” katanya.
Mohamed Sharil berkata, ia jelas bergantung kepada di mana ujian berkenaan dijalankan dan berapa bandar yang dikira.
“Kita mempunyai pasaran pembekal perkhidmatan Internet (ISP) yang teguh dan bagus, sesetengahnya mungkin menawarkan kelajuan (pakej jalur lebar) yang lebih berbanding dengan yang lain.
“Kesudahannya, apabila sesuatu ujian kelajuan dilaksanakan, keputusan akan dipuratakan,” tambahnya lagi.
Jika kita mahu membandingkan dua negara terbabit iaitu Vietnam dan Kemboja, anda akan memperoleh data Ookla seperti berikut:
Vietnam
Kelajuan purata pindah turun: 18.4Mbps
Kelajuan purata pindah naik: 8.1Mbps
Kadar penembusan Internet: 39.5 peratus
Kadar penembusan telefon pintar: 19.4 peratus
Kemboja
Kelajuan purata pindah turun: 5.8Mbps
Kelajuan purata pindah naik: 6.7Mbps
Kadar penembusan Internet: 4.9 peratus
Kadar penembusan telefon pintar: tidak diperoleh
Malaysia
Kelajuan purata pindah turun: 5.63Mbps
Kelajuan purata pindah naik: 4.2Mbps
Kadar penembusan Internet: 65.8 peratus
Kadar penembusan telefon pintar: 34.5 peratus
Daripada angka terbabit, anda boleh melihat kelajuan dua negara berbanding Malaysia tetapi dengan penembusan jalur lebar bermakna kurang pengguna dari aspek peratusan yang mempunyai akses kepada Internet dan telefon pintar.
Ia bukan saja mengganggu hasil ujian malah dengan kurangnya pengguna bagi talian tetap dan mudah alih, saiz sampel akan menjadi lebih kecil dan tidak tepat.
Misalnya Vietnam mempunyai kelajuan Internet yang tinggi tetapi jika penembusan telefon pintar dan Internetnya jauh lebih rendah berbanding Malaysia, ia bermakna kurangnya juga pengguna membuat ujian Speedtest di telefon masing-masing.
SKMM sejak sekian lama mengiktiraf keperluan untuk menaik taraf kelajuan jalur lebar dan kualitinya.
Sejak 2010 lagi, pelbagai usaha giat dilaksanakan termasuk melaksanakan perluasan jalur lebar melalui pelaksanaan Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) di bawah Inisiatif Jalur Lebar Nasional (NBI).
SKMM juga mengeluarkan spektrum baru untuk LTE 2.6 GHz dan membenarkan pengendali sedia ada untuk menaik taraf rangkaian mereka yang terletak dalam jalur 1800 MHz kepada LTE.
“Rangkaian ini akan mengambil masa untuk dibina dengan fasa pertama HSBB siap di lebih 100 kawasan perindustrian, pekan dan bandar manakala fasa kedua HSBB juga dimuktamadkan,” kata Mohamed Sharil.
Katanya, SKMM sudahpun mengeluarkan tender bagi membina 400 menara telekomunikasi untuk kawasan luar bandar di Malaysia.
“Pelan pelaksanaan jalur lebar memberikan penekanan kepada seluruh negara dan bukan sahaja bandar seperti di negara lain,’’ kata Mohamed Sharil.
Jika mahu melihat hasil ujian kelajuan Internet yang lebih baik, kajian Akamai atau Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) lebih tepat.
Menurut Laporan Kebolehmampuan 2013, A4A1 (Alliance for Affordable Internet), Malaysia menduduki tangga teratas dalam kalangan 46 negara membangun untuk Indeks Kebolehmampuan diikuti Mauritius dan Brazil.
Harga akses Internet yang sampai kepada majoriti penduduk adalah hasil kejayaan Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan (NBI), aplikasi teknologi yang canggih serta kerangka undang-undang dan dasar yang progresif.
ITU selaku suruhanjaya jalur lebar menetapkan beberapa sasaran yang akan dicapai menjelang 2015 dan Malaysia berjaya mencapai semua sasaran ditetapkan pada 2011.
Sasaran serta pencapaian Malaysia seperti berikut:
- Menjadikan dasar jalur lebar bersifat universal (Inisiatif Jalur Lebar Nasional dilancarkan pada 2010).
- Perkhidmatan jalur lebar peringkat permulaan harus berpatutan di negara membangun yang merangkumi kurang lima peratus daripada purata pendapatan bulanan (Pakej paling rendah yang boleh diperoleh RM15 ialah kurang satu peratus daripada purata pendapatan bulanan RM2,000).
- 40 peratus isi rumah di negara membangun seharusnya mempunyai akses Internet (67.3 peratus Penembusan Jalur Lebar Isi Rumah).
- Penembusan pengguna Internet harus mencecah 60 peratus di seluruh dunia, 50 peratus di negara membangun dan 15 peratus di negara mundur (18.6 juta pengguna Internet atau 63.6 peratus).
Ujian Speedtest Ookla
Ujian Kelajuan Ookla menggunakan metodologi yang berlandaskan kepada platform kandungan yang dijana oleh pengguna. Ia bertindak mengumpul data pengguna yang memilih untuk menggunakan pelayan bagi menguji kelajuan Internet.
Ia mengira purata kelajuan sambungan (average connection speed) dan purata kelajuan sambungan puncak (average peak connection speed). Purata kelajuan sambungan boleh dikira dengan mengambil purata semua kelajuan sambungan manakala purata kelajuan sambungan puncak diambil daripada lingkungan 300 batu daripada pelayan akan dimasukkan ke dalam indeks ini. Kelajuan tertinggi dan terendah kemudiannya akan dibahagikan kepada beberapa bilangan titik ujian.
Keputusan itu adalah berbeza bergantung kepada pakej jalur lebar, populasi dan negara. Tambahan pula, keputusan itu tidak akan membezakan antara masa tertentu dalam sesuatu hari apabila ujian berkenaan dijalankan apabila terdapat pengguna yang berhubung pada kelajuan Gigabit dan tidak kurang juga pada talian perhubungan telefon, satelit atau kepantasan DSL.
Semakin meluas liputan jalur lebar, maka semakin banyaklah keputusan yang akan menggambarkan purata kelajuan pindah turun lebih rendah melainkan semua kawasan yang diliputi mempunyai kadar tumpuan jalur lebar yang tinggi.
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date