Bersama-sama pengumuman Windows 10 S, gergasi perkomputeran terkemuka berkenaan turut mengambil peluang untuk memperkenalkan peranti terbaru mereka, iaitu Surface Laptop.
S urface Laptop ini adalah sebuah komputer riba penuh, dan bukannya sebuah peranti dua-dalam-satu seperti Surface RT atau Surface Pro sebelum ini. Surface Laptop ini hadir dengan skrin bersaiz 13.5-inci, sekaligus menjadikan ia sebagai salah satu alternatif yang baik untuk Chromebook.Ia membawakan rekaan seumpama Surface Book sebelum ini, dan mungkin akan menerima permintaan yang lebih tinggi berbanding dengan Surface Pro, memandangkan penawaran ia sebagai sebuah komputer riba penuh dengan rekaan nipis.
Surface Laptop juga menggunakan nisbah skrin 3:2, dilengkapi cip pemprosesan Intel Coore i5 atau i7, dan menawarkan masa penggunaan bateri sehingga 14.5 jam lamanya.
Melalui perbandingan kasar, Microsoft turut mengatakan Surface Laptop menjalankan Windows 10 S ini menawarkan pemprosesan lebih pantas berbanding Macbook Pro, serta masa bertahan bateri lebih lama.
Dengan rekaan yang nipis, ia juga membawakan sokongan port yang sangat sedikit. Komputer riba ini hanya dilengkapi USB 3, bicu audio 3.5mm, Surface Connect dan juga miniDisplayPort. Tiada sokongan USB-C yang disertakan pada komputer riba ini. Microsoft turut menyertakan sokongan Surface Pen padanya, memudahkan untuk pengguna membuat lakaran terus pada skrinnya, seperti keluarga peranti Surface sebelum ini.
Microsoft akan memasarkan komputer riba ini bermula bulan Jun kelak, pada harga bermula $999 (~RM4323).