Harga bagi iPhone 7 dan iPhone 7 Plus - dari RM 3,199 - RM 4,799 - sudah boleh dianggap mahal oleh peminat di Malaysia. Hatta sebulan gaji pun belum tentu boleh memiliki telefon pintar terbaru keluaran Apple itu.
Dari masa ke masa sudah tentu harganya akan turun sedikit demi sedikit tetapi tidak untuk iPhone generasi pertama, iPhone 2G kerana ia mula dilihat sebagai barangan antik oleh pengumpul dan sudah ada peniaga menjual iPhone generasi pertama itu pada harga $18,000 (RM 74,000) di ebay.Seorang peniaga yang bernama bobk1000 meletakkan harga itu pada iPhone generasi pertama yang masih berada di dalam kotak dan tidak pernah dibuka lagi.
"Telefon yang telah mengubah dunia. Semakin menghampiri 10 tahun kelahiran, sudah tentu nilainya akan semakin bertambah", tulis deskripsi di produk tersebut.
Selain itu, beberapa penjual lain turut meletakkan harga iPhone generasi tersebut dalam harga yang mahal tetapi tidaklah semahal yang diletakkan oleh bobk1000.
Namun, masih banyak lagi iPhone generasi pertama yang dijual pada harga yang murah tetapi hampir kesemuanya sudah pun dalam keadaan terpakai atau sudah pun rosak.
Tahun lepas, perkara yang sama berlaku kepada iPhone generasi pertama ini selepas pelancaran iPhone 6s. Tetapi pada tahun ini, harga yang diletakkan adalah lebih mahal mungkin disebabkan peranti itu dianggap antik dan mempunyai nilai semakin ia dimakan umur.
Jadi, kepada sesiapa yang masih memegang iPhone generasi pertama, jangan membuangnya kerana pada suatu hari nanti, sudah tentu ia akan menjadi barang yang bernilai.