Sejak beberapa hari yang lepas ini, terdapat sejumlah desas-desus hadir mengatakan Pokemon Go akan ditawarkan di Malaysia pada minggu ini.
Namun, kini perkara tersebut disangkal secara rasmi, apabila penerbit permainannya, Niantic Labs mengatakan kepada IGN, mereka tiada perancangan (dari segi tarikh) untuk pengenalan permainan berkenaan di negara lain selain beberapa negara yang telah dilancarkan.Buat masa ini, permainan Pokemon Go yang menjadi bualan ramai ini telah dilancarkan di beberapa buah negara, termasuk Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Jerman dan juga UK.
Melalui laporan WSJ sebelum ini, ia telah dipetik mengatakan permainan ini akan dilancarkan di Eropah dan Jepun dalam beberapa hari. Perkara ini, seterusnya disalah erti oleh beberapa media sebagai pengenalan kepada rantau Asia – menjadikan ramai pengguna seluruh negara menantikannya.
Pengenalan secara berperingkat ini sering dilakukan oleh ramai penerbit permainan ini dalam usaha untuk memastikan pelayan mereka dapat menampung pemain yang ramai. Memandangkan populariti permainan Pokemon Go ini agak tinggi, maka ia mengambil masa yang sedikit lama berbanding kebiasaan supaya mereka dapat menampungnya.
Bagi anda yang ingin menerima notifikasi sebaik sahaja ia dilancarkan untuk pasaran tempatan, mungkin anda boleh mendaftarkan diri di laman pihak ketiga – Is Pokemon Go Available Yet, dan menerima emel notifikasi sebaik sahaja ia diterbitkan untuk pasaran Malaysia.