KALI ini, GoPro didatangkan dalam tiga model, GoPro Hero 4 Black, GoPro Hero 4 Silver dan model GoPro Hero asas. Model Black dan Silver pula didatangkan dalam tiga varian iaitu standard, surf dan music, dengan masing-masing memiliki aksesori berbeza.
Varian standard didatangkan dengan dengan casing kalis air, surf pula didatangkan dengan pemegang untuk papan luncur dan music pula didatangkan dengan bingkai khas yang digunakan untuk memasang dua jenis alat yang digunakan oleh pemuzik.Walaupun GoPro Hero 3+ sebelum ini dilengkapi keupayaan mengambil video 4K, kadar bingkai sesaatnya, 15fps, terlalu rendah untuk digunakan dalam menghasilkan video profesional. Model terbaru Hero 4 Black menggandakan keupayaan itu dengan kebolehan mengambil video 4K pada 30fps.
Selain itu, pengguna boleh merakamkan video gerak perlahan dengan lebih lancar dan pada resolusi tinggi. Model ini juga dilengkapi Bluetooth, membolehkan pengguna menyambungkan telefon pintar untuk dijadikan alat kawalan serta untuk melihat gambar dan video yang diambil. Pengguna juga boleh meletakkan tag pada video yang digemari.
Hero 4 Silver pula adalah kamera tahap pertengahan dan ia berkeupayaan mengambil video 1080p pada kadar 60fps. Ia juga dilengkapi sebuah skrin sentuh LCD, sama seperti modul yang diletakkan pada model GoPro sebelum ini. Ciri ProTune padanya pula membolehkan pengguna mengawal setting kamera semasa mengambil gambar atau video, satu ciri baru yang ditawarkan kepada pengguna, yang tiada pada model GoPro terdahulu.
Model GoPro Hero asas pula berkeupayaan mengambil video 1080p pada kadar 30fps dan merakamkan foto 5MP pada kadar 5fps. kamera ini yang dijadualkan berada di pasaran awal bulan ini bagaimanapun tidak didatangkan dengan wi-fi atau Bluetooth.