Nokia bakal dikenali sebagai Microsoft Mobile


Microsoft Mobile ganti jenama Nokia

HELSINKI – Menjelang muktamadnya perjanjian pengambilalihan syarikat telefon mudah alih, Nokia oleh gergasi perisian global, Microsoft, Jumaat ini, muncul laporan awal bahawa Nokia bakal dinamakan semula sebagai Microsoft Mobile.


Menurut surat yang diterima di Finland oleh para pengedar Nokia, syarikat itu mengumumkan bahawa perjanjian pengambilalihan itu akan diselesaikan dalam masa terdekat.

Mac lalu, Microsoft dan Nokia berkata perjanjian itu bakal dimuktamadkan menjelang akhir April.

“Sila ambil perhatian bahawa sebaik transaksi antara Microsoft dan Nokia selesai, nama Nokia Corporation/Nokia Oyj akan ditukar kepada Microsoft Mobile Oy. Microsoft Mobile Oy adalah nama entiti sah yang akan digunakan oleh VAT ID untuk pengeluaran invois,” demikian isi kandungan surat berkenaan yang dibocorkan kepada wmpoweruser.com.

‘Oyj’ adalah singkatan kepada “syarikat senaraian awam” di Finland, manakala ‘Oy’ adalah terma untuk “perbadanan”.

Dengan muktamadnya perjanjian itu, tidak bermakna berakhirnya era telefon mudah alih Nokia. Namun, ia hanyalah pengakhiran kepada jenama Nokia yang dikenali di peringkat global sejak sekian lama.

Microsoft akan mengambilalih divisyen telefon mudah alih Nokia, termasuk kumpulan kepakaran yang mengeluarkan telefon berkenaan. Bagaimanapun, ia tidak termasuk pengambilalihan divisyen yang bertanggungjawab ke atas perniagaan peralatan rangkaian dan perisian peta, Here.

Divisyen-divisyen lain yang tidak terlibat dengan jual-beli oleh Microsoft ini masih mempunyai hak untuk menggunakan nama Nokia meskipun Microsoft telah membeli lesen bagi menggunakan jenama Nokia untuk tempoh 10 tahun akan datang sebagai sebahagian daripada perjanjian bernilai AS$7.2 bilion itu.

Sebagai tambahan, Microsoft turut telah membeli hak untuk menggunakan jenama Lumia dan Asha. Kedua-dua pihak juga bersetuju, Nokia tidak akan lagi mengeluarkan telefon pintar menggunakan nama Nokia sebelum akhir 2015.

Walaupun, nama Nokia akan digantikan dengan Microsoft Mobile di Finland dan negara lain dalam masa terdekat, tidak akan berlaku banyak perubahan terhadap terma-terma sedia ada dengan rakan-rakan perniagaan Nokia..

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Top Post Ad


Below Post Ad